Friday, June 4, 2010

Catatan.. KEJOHANAN FUTSAL SYDNEY 2010

KEJOHANAN FUTSAL SYDNEY 2010
By Hakimi


30 Mei – Satu Kejohanan Futsal Sydney 2010 telah berlangsung di Aquatic Centre, University of Sydney dengan menyaksikan penglibatan 20 pasukan (16 lelaki dan 4 wanita) dari segenap pelusuk NSW termasuklah dari Canberra, Wollongong, Macquarie dan tidak ketinggalan tuan rumah Sydney.

Objektif kejohanan ini diadakan adalah bertujuan untuk merapatkan serta mengenali dengan lebih dekat persatuan/kelab yang bernaung di bawah JPMA di samping mewujudkan semangat muhibbah melalui sukan serta menyokong konsep satu Malaysia.

Kejohanan yang julung kali diadakan ini merupakan hasil gabungan idea dari MyPSA dan Kelab UMNO serta mendapat sokongan penuh dari Jabatan Penuntut Malaysia Australia (JPMA). Format pertandingan adalah dalam bentuk liga. Setiap kumpulan dibahagikan kepada 4 pasukan bagi kategori lelaki dan hanya 1 kumpulan yang mewakili kategori wanita.

Seawal jam 7.30 pagi, Aquatic Centre telah menjadi tumpuan para pemain dan penyokong yang datang membanjiri untuk menyaksikan pasukan masing-masing bertarung dan berhempas pulas. Ada juga pasukan yang datang awal sehari sebelum sepak mula kejohanan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan gelanggang. Bahang “WORLD CUP” yang semakin hampir telah menyemarakkan lagi semua pemain dengan menyaksikan 4 pasukan terawal berentap jam 8.20 pagi.

Sorakan padu para penyokong telah menggamatkan Aquatic Centre dari mula hinggalah ke penghujung kejohanan. Tirai kejohanan ditutup dengan penyampaian hadiah oleh Yang Berbahagia En Zahari Long dari JPMA. Hadiah berupa wang tunai, pingat, cenderahati dari minuman RED BULL serta piala pusingan JMPA-MyPSA NSW (johan kategori lelaki) serta Kelab UMNO (johan kategori wanita) telah menjadi taruhan. Di samping itu, terdapat juga voucher makanan dari Melaka Straits yang menjadi habuan kepada penjaring terbanyak dan pemain terbaik bagi kedua-dua kategori.

Kejohanan futsal 2010 telah menyaksikan pasukan Malaysian Hall Representative Council (MHRC) mendapat tempat ke-4 diikuti oleh pasukan Persatuan Pelajar Malaysia Sydney (PPMS) 2 bagi tempat ke-3. Naib johan telah disandang oleh pasukan TOM-TOM dari Petronas dan Johan Futsal adalah pasukan PPMS 1. Kesemua nya adalah bagi kategori lelaki. Bagi kategori wanita pula, johan telah disandang oleh pasukan ABU dan tempat ke-2 telah dimenangi oleh pasukan Lady Gagah. Pemain terbaik pula telah dianugerahkan kepada saudara Mohd Aiman (dari pasukan PPMS 1 untuk ketegori lelaki) dan saudari Min Lee (dari pasukan ABU untuk kategori wanita). Manakala, anugerah kasut emas telah dinobatkan kepada saudara Hemandran dan saudari Nadia@nadee bagi kategori masing..SYABAS para pemenang!!!!



Pada tahun ini, MyPSA telah melakar satu lagi sejarah penting kerana telah berjaya menganjurkan kejohanan seumpama ini dengan lancar dan sempurna. Sesungguhnya, ia merupakan “new born baby” kepada MyPSA untuk dijadikan sebagai batu loncatan agar ianya dimasukkan sebagai salah satu aktiviti tahunan MyPSA.

SYABAS dan TAHNIAH diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini baik dari urusetia, pengadil, pemain dan penyokong yang budiman. Tidak ketinggalan juga terima kasih kepada ABANG RAMLI @ CHEF RAMLI yang sudi menyediakan makanan pagi secara PERCUMA serta syarikat RED BULL, 100 PLUS yang menyediakan minuman pada hari kejohanan tersebut.

Harapan dari pihak penganjur ialah supaya dimasa hadapan agar lebih banyak pasukan yang tampil untuk menyertai kejohanan ini terutama sekali penglibatan kaum wanita sangat dialu-alukan. Saya turut menghargai segala bentuk pendapat atau komen bernas anda semua bagi maksud ‘continual improvement’ di masa akan datang.

MAJULAH SUKAN UNTUK MyPSA

Hebahan Exco IT and Publication - 05-06-2010

No comments:

Post a Comment